Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil seni yang menggambarkan keindahan melalui bahasa termasuk novel, sajak, hikayat dan bentuk-bentuk persuratan lain. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kesusasteraan membawa beberapa makna antaranya sebagai seni yang menggambarkan keindahan melalui bahasa, hasil karya kreatif dan juga pengetahuan dalam bidang sastera. Dalam konteks Melayu, kesusasteraan tidak hanya berperanan sebagai medium hiburan, tetapi juga sebagai alat pendidikan, dakwah dan kritikan sosial. Kesusasteraan Melayu merupakan khazanah intelektual yang mencerminkan pandangan dunia dan pemikiran masyarakat Melayu. Perkara ini bukan sekadar seni kata yang indah, tetapi turut mengandungi pelbagai aspek pengetahuan, pemerhatian dan pegangan hidup yang diwarisi turun-temurun.